Pemilihan pam payudara bagi menjayakan penyusuan susu ibu amatlah penting. Untuk itu, saya akan kongsikan beberapa tips yang dapat membantu anda membuat pilihan.
1) Bajet
Ini faktor utama yang perlu anda utamakan. Lihat semula berapa bajet yang anda perlukan untuk membeli pam. Ini kerana ada pelbagai jenis dan jenama pam payudara yang ada di pasaran. Anda juga boleh membuat "market survey" kerana harga pam adalah berbeza-beza. Sekiranya ada "sale" mungkin anda boleh dapati dengan harga murah berbanding harga biasa ataupun mengunjungi Ekspo Bayi dan sebagainya. Biasanya akan ada promosi untuk pam payudara.
2) Jenis Pam
Kini ada pelbagai jenis pam di pasaran. Sebagai contoh, pam manual, pam elektrik "single" dan pam elektrik"double". Maksudnya ada yang mempunyai satu corong yang mana hanya boleh mengepam untuk sebelah payudara pada setiap kali sesi mengepam. Pastikan juga ianya adalah BPA Free.
Pertama kali membeli pam, saya hanya menggunakan pam manual sahaja. Tetapi pengalaman saya, bila menggunakan pam manual, saya memerlukan ruang yang privasi kerana perlu mengawasi corong pam supaya susu tidak tumpah serta proses mengepam mengambil masa yang lama. Sebagai contoh, 15 minit untuk setiap payudara akan mengambil masa 30 minit untuk setiap sesi mengepam.
Kadangkala, saya hanya pam mengikut masa yang diperlukan. Contohnya kurang daripada 30 minit setiap sesi mengepam. Saya juga selalu "skip" sesi mengepam kerana malas. Iyalah, tangan juga lenguh kerana perlu picit pam tersebut. Oleh kerana itu, saya beralih kepada pam jenis "double electric" untuk kelahiran anak kedua. Saya sangat berpuas hati dengan pam jenis ini. Ianya tidak menyakitkan malah menjimatkan masa. Saya juga hanya perlu pam sambil meneruskan kerja dan tidak perlu ruang untuk menyorok. Hanya pasang, gunakan "nursing cover" dan membuat tugasan pejabat di meja sendiri.
Jenis pam juga bergantung kepada penggunaan individu. Sebagai contoh, sekiranya bekerja di luar, anda perlu pastikan ada wayar untuk sambungan elektrik atau pun gunakan bateri untuk pam jenis elektrik/bateri.
3) Jenama Pam
Anda boleh mempertimbangkan jenama yang ada di pasaran. Jenama pam juga akan mempengaruhi harga pam tersebut. Anda boleh melakukan "survey" tentang sejauh mana kelebihan dan kekurangan setiap pam mengikut jenama. Jenama juga memainkan peranan penting kerana ada jenama pam yang agak menyakitkan bila digunakan. Kadang kala ini bergantung kepada individu.
Antara jenama-jenama pam payudara :
1) Philips Avent
2) Medela
3) Rumble Tuff
4) Pureen
5) Tommee Tippee
6) Autumz
7) Eve Love
Saya memilih pam manual jenama Philips Avent. Pam ini sangat mudah digunakan dan tidak menyakitkan. Pam ini juga mudah untuk dibersihkan. Kemudian, saya beralih kepada pam "double electric" jenama Rumble Tuff. Pam ini baru sahaja diperkenalkan ketika itu. Sebelum membeli, saya ada membuat "market survey" tentang harga dan penggunaan pam ini dan kebanyakannya adalah positif. Alhamdulillah, ianya sangat-sangat berguna kepada saya sehingga hari ini dan tiada masalah (hampir 7 bulan menyusukan bayi). Oh ya, saya membeli pam ini ketika berkunjung ke Baby Expo di Mid Valley dan pada masa itu, sedang "sale" (harganya lebih murah berbanding harga pasaran) Jimat almost RM100-RM200.
Apapun, ianya berbalik kepada perkara pertama iaitu tentang bajet. Boleh dikatakan pam ini agak berpatutan kerana pam jenis elektrik single jenama Philips Avent berharga RM600 ke atas manakala pam jenis elektrik double pula hampir RM800-RM1000. Begitu juga dengan pam jenama Medela.
Gambar : Pam jenama "Rumble Tuff" yang banyak berjasa
Tambahan pula, pam ini boleh digunakan dengan elektrik, bateri (4 biji bateri jenis AA), manual dan boleh digunakan secara single atau double. Berbaloi bukan?. Saya pernah menggunakan kesemuanya dan ternyata memang memuaskan hati. Bila kita selesa mengepam, pengeluaran susu juga akan berjalan dengan lancar.
Dari segi pemasangan "parts" pula, hanya perlu lihat manual yang disediakan pada kotak pam tersebut dan ianya juga mudah dibersihkan. Pam ini juga mempunyai fungsi stimulate sebelum betul-betul mengepam payudara. Ia juga ada skrin di mana kita boleh set masa untuk setiap kali sesi mengepam.
Biasanya saya akan set 20 hingga 30 minit untuk sesi mengepam. Ini bagi memastikan payudara telah dikosongkan supaya pengeluaran susu akan bertambah.
Di pasaran, variasi pam elektrik telah dipelbagaikan dari pelbagai jenis jenama. Ini membuktikan kesedaran tentang penyusuan susu ibu oleh masyarakat di Malaysia semakin meningkat. Mudah-mudahan dengan adanya kemudahan-kemudahan ini akan menggalakkan para ibu untuk terus menyusukan bayi mereka.
4) Bila masa yang sesuai?
Sebenarnya, saya akan menyediakan keperluan ibu dan bayi semasa hamil lagi. Ketika di lingkungan 6 hingga 7 bulan. Pada ketika itu, kandungan sudah kukuh dan tidak terlalu sarat untuk para ibu hamil bergerak. Ini sangat berguna kerana saya memang menggunakannya seawal seminggu selepas bersalin. Lagipun saya memang akan menggunakannya semasa bekerja.
Tips-tips yang saya kongsikan hanyalah sekadar perkongsian ilmu dan pengalaman saya sendiri. Moga dapat dimanfaatkan.
0 comments:
Post a Comment