Saturday, 15 March 2014

Pentingnya Penyusuan Susu Ibu

Pada zaman moden yang serba canggih, di mana masyarakat mengejar masa dan kekayaan, ramai para ibu yang kurang prihatin tentang penyusuan susu ibu. Betapa pentingnya memberikan bayi susu ibu berbanding susu formula. Pilihan terletak di tangan kita...

Kenapa saya memilih untuk menyusukan bayi saya dengan susu ibu?
Berikut artikel yang dipetik dari http://fikrahhalaqah.com untuk perkongsian bersama.

Allah SWT telah menjadikan susu ibu sebagai susu yang terbaik sebagai makanan utama bayi. Banyak bukti saintifik membuktikan kelebihannya berbandingan dengan susu formula, sama ada yang berasakan susu lembu atau soya.
Susu ibu menepati fitrah bayi yang masih belum matang untuk menghadamkan pemakanan mereka. Dalam Islam juga, susu ibu adalah pilihan terbaik. Dalam Al-Quran, kita telah diberikan arahan seperti berikut:
“Para ibu hendaklah menyusukan anak-anaknya selama dua tahun penuh, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan” (Surah Al-Baqarah : ayat 233)
Begitu juga dalam ayat lain, Allah SWT telah memberitahu:
“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).” (Surah Luqman: ayat 14)

Memang tidak dapat dinafikan bahawa susu ibu adalah susu yang lengkap nutrisi untuk kebaikan bayi, tidak dapat ditandingi oleh susu formula sama ada susu berasaskan susu lembu atau soya.
Menurut Akademi Pediatrik Amerika, susu ibu merupakan sumber makanan yang terbaik bagi bayi berumur satu tahun ke bawah, diikuti dengan susu formula berasakan susu lembu dan diikuti oleh susu soya.
Academi Pediatrik Amerika juga manasihatkan agar bayi diberikan susu ibu secara ekslusif sekurang-kurangnya sehingga berumur enam bulan, dan diberikan susu ibu bersama dengan makanan pejal yang lembut secara berperingkat-peringkat sehingga berumur setahun.
Adalah lebih baik jika bayi dapat disusukan sehingga berumur 2 tahun. Sayangnya ramai ibubapa yang masih memilih susu formula kerana pelbagai alasan.
Kajian di Amerika pada tahun 2008, mendapati seramai dua pertiga dari bayi di Amerika diberikan susu ibu sehingga berumur enam bulan, kemudian seramai tiga perempat dari mereka menukarkan kepada susu formula setelah mencapai umur enam bulan.
Sementara satu perlima dari bayi di Amerika diberikan susu formula yang berasakan soya.
Oleh kerana susu formula tidak dapat menyamaikan kebaikan nutrisi yang dibekalkan oleh susu ibu, hampir semua pengeluar susu formula berlumba-lumba menghasilkan susu formula yang dikatakan lebih bermanfaat untuk menandingi susu ibu.
Sebagai contoh pengeluar susu formula menambahkan lemak asid (fatty acids) docosahexaenoic acid (DHA) dan arachidonic acid (AA) untuk menyamai kandungan nutrisi susu ibu bagi meningkatkan perkembangan minda bayi.
Tetapi kebanyakan pengkaji mendapati bahawa penambahan DHA dan AA dalam susu formula tidak memberikan kesan yang baik untuk perkembangan minda berbanding dengan susu ibu.
Dr. Ahmad Qawasmi telah menggabungkan 12 kajian yang diperolehi dari Yale University, Connecticut Amerika Syarikat dan Al-Quds University di Jerusalem, Palestine untuk membandingkan bayi yang disusukan dengan susu formula tanpa penambahan asid lemak dengan bayi yang disusukan dengan susu formula dengan penambahan asid lemak. Kajian ini melibat seramai 1800 bayi dan dilakukan sepanjang tahun 1998-2005.
Dalam kajian ini bayi-bayi ini mula disusukan dengan susu formula semenjak umur satu bulan dan penilaian dilakukan apabila mereka mencapai umur setahun untuk menguji perkembangan bahasa, minda dan kemahiran motor.
Mereka mendapati susu formula berasaskan soya dan susu lembu ditambahkan dengan DHA dan AA, tidak dapat menandingi kebaikan susu ibu. Dalam kajian itu menunjukkan tiada perbezaan antara perkembangan minda seperti bahasa dan kebolehan berfikir.
Ini tidak bermakna bahawa asid lemak yang dibekalkan tidak mempunyai faedah, tetapi faedah yang diperolehi tidak menyamai bayi yang diberikan susu ibu. Lemak asid yang ditambah mungkin memberikan kebaikan kepada perkembangan penglihatan (mata) dan daya tahan melawan penyakit.

Susu ibu lebih baik dari susu formula ini kerana:
1.  Susu ibu mempunyai kesan yang sangat baik pada perkembangan mental jika diukur mengikut ‘Index Perkembangan Mental’ pada umur enam dan dua belas bulan.
2.  Susu ibu mempunyai skor yang tinggi pada ujian kemahiran pergerakan (psychomotor) pada umur enam bulan berbanding dengan susu formula.
3.  Bayi yang disusukan ibu mempunyai skor penguasaan bahasa yang lebih tinggi pada umur tiga dan enam bulan.
Oleh itu susu ibu haruslah dianggap sebagai susu yang terbaik, walaupun pengeluar susu formula berusaha untuk menandinginya dengan menambah pelbagai nutrisi yang lain.

Subhanallah, arahan tentang penyusuan susu ibu telah terkandung di dalam Al-Quran. Namun sejauh mana ibu bapa hari ini menitik beratkan tentang perkara ini? Renung-renungkan dan selamat beramal....

Pelbagai alasan sebenarnya yang diberi oleh para ibu sekiranya tidak dapat menyusukan bayi mereka. Namun saya percaya, dengan niat, usaha dan tawakkal, insyaallah apa yang kita inginkan akan tercapai. Mungkin bukan dengan kelahiran pertama namun boleh terus mencuba lagi.


0 comments:

Post a Comment